FADHLINA SIDDIQ: DARIPADA AKTIVITIS KEPADA KEPADA MENTERI [RAK TV]
Hidup ini sesungguhnya tidak pernah lurus. Ibarat roda, ada waktu di atas dan sesekali di bawah. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Manusia juga hanya mampu merancang, sedangkan pengakhiran tetap Allah juga penentu. Fadhlina sejak awal tidak pernah terlintas mahu menyertai politik, walaupun kerap menyumbang khidmat kepada Keadilan dan Anwar Ibrahim khususnya, termasuk mengetuai antara pasukan peguamnya di mahkamah. Ayahnya, intelektual Melayu dan ulama moden, Dato' Profesor Dr. Siddiq Fadzil (Allahyarham) juga selama hayatnya tidak pernah memberi izin, kerana pengalaman melihat sahabat baiknya, Anwar dipenjarakan kesan khianat musuh politik sangat berbekas kuat, sekali gus mencetuskan bimbang jika anak perempuannya itu 'dicederakan' wahana politik. Namun tidak siapa mampu menahan takdir. Langkah Sheraton pada 2020 yang mencipta krisis besar dalam politik negara akhirnya menjadi titik pengubah. Fadhlina mengambil langkah nekad menyertai Keadilan dan dari situlah segala-galanya bermula. Biar ramai menganggap perjalanannya mudah, ia sebaliknya penuh onak beranjau duri. Banyak perkara dirancang tanpa kemahuannya, tanpa persetujuannya. Satu per satu... satu per satu. Dan banyak perkara berlaku tanpa jangkaannya. Satu per satu... satu per satu. Seperti kejutan kepada rakyat Malaysia, Fadhlina turut merasa emosi sama, ketika Anwar menamakannya sebagai Menteri Pendidikan dalam senarai menteri kabinet kerajaan baharu pimpinannya selepas tamat konflik PRU15. Nama Fadhlina yang sebelumnya asing tiba-tiba menjadi buah mulut. Siapa dia sebenarnya dan apa istimewanya dia sehingga dilantik sebagai wanita pertama menerajui antara kementerian paling penting, paling besar dan paling mencabar?