PEMIKIRAN DAN GAYA MENGARANG RAJA ALI HAJI | Kartini Anwar
Judul : Pemikiran Dan Gaya Mengarang Raja Ali Haji
Pengarang : Kartini Anwar
Penerbit : Dewan Bahasa Dan Pustaka
Genre : Kesusasteraan dan Sejarah
Mukasurat : 158 Halaman
Cetakan Pertama : 2017
ISBN : 9789834607111
Ketokohan Raja Ali Haji tidak perlu diketengahkan lagi. Namun pemikiran dan kepengarangan beliau dalam dunia kesusasteraan Nusantara perlu dikupas sebagai satu wadah penting untuk tatapan generasi masa hadapan.
Buku Pemikiran dan Gaya Mengarang Raja Ali Haji ini wajar dijadikan salah satu teks wajib baca bagi peminat sastera tanah air yang mahu mengenali karya-karya beliau dengan lebih dekat lagi. Tiga elemen penting iaitu pengarang, teks dan khalayak tetap menjadi unsur penting dalam menelusuri pemikiran seseorang pengarang. Dalam pengkajian ini, pengarang menggunakan haluan yang selari agar jalur pemikiran serta kepengarangan Raja Ali Haji dapat dianalisis dan dikupas.
Pengarang telah memberi tumpuan pada karya Raja Ali Haji yang subur dan popular sekitar tahun 1808-1872. Bagaimanakah Raja Ali Haji mampu melahirkan karya hebat seperti Gurindam Dua Belas, Syair Suluh Pegawai, Syair Siti Saniah dan Syair Sultan Abdul Muluk, sehingga diingati dan dikenang generasi kini, telah dihuraikan oleh pengarang sehingga pembaca benar-benar kagum dengan pemikiran Raja Ali Haji.
Membaca teks ini umpama mengenali jiwa dan emosi Raja Ali Haji. Kehebatan dan ketokohannya sering dibicarakan walaupun beliau sudah meninggalkan alam kesusasteraan Nusantara buat selama-lamanya.