SELENDANG MERAH BALUKHALI | Sri Rahayu Mohd Yusop
Judul : Selendang Merah Balukhali
Pengarang : Sri Rahayu Mohd Yusop
Penerbit : Tintarona Publications
Genre : Novel
Mukasurat : 163 Halaman
Cetakan Pertama : 2019
ISBN : 9789833514656
‘SELENDANG MERAH BALUKHALI’ menceritakan tentang perjalanan seorang pendatang tanpa izin yang berasal dari Rakhine, Myanmar bernama Omar. Omar mencari ahli keluarganya di kem pelarian Balukhali di Cox’s Bazar, Bangladesh setelah tiga tahun bekerja secara haram di Malaysia. Omar akhirnya bertemu semula dengan adik perempuannya, Sherezad di Balukhali. Namun begitu, Omar dan Sherezad kehilangan ibu bapa mereka yang terkorban dalam kebakaran yang memusnahkan rumah mereka di Tula Toli, Maungdaw. Akibat kebakaran yang hampir meragut nyawanya itu, Sherezad menjadi buta. Selama Sherezad sebatang kara di kem pelarian Balukhali , dia dijaga oleh seorang staf pelatih UNHCR dari Malaysia yang bernama Lo Yu Ting. Apabila Omar dan Sherezad bertemu semula, Lo Yu Ting telah melepaskan penjagaan budak perempuan itu kepada Omar.
Rasa bersalah Omar terhadap kematian ibu bapa mereka dan kecacatan Sherezad di tangan kekejaman tentera Myanmar menjadikan dia merasa terdesak untuk mendapatkan rawatan untuk memulihkan penglihatan Sherezad. Waktu itu, Omar didatangi oleh Uwais, pelarian Rohingya yang tiba lebih awal di Balukhali. Uwais menjanjikan yang dia akan memperkenalkan Omar dengan seseorang yang boleh menyelesaikan masalah Omar yang inginkan jalan keluar dari kem pelarian dan mendapatkan rawatan pakar untuk adiknya.
Malangnya, orang yang dimaksudkan oleh Uwais itu adalah Tuan al-Ahmadi yang merupakan ketua kumpulan pengganas yang mengambil kesempatan terhadap keterdesakan pelarian-pelarian Rohingya. Lo Yu Ting cuba menasihati Omar supaya bersabar menjalani kehidupan di Balukhali dan menunggu sehingga bantuan tiba dan tidak terjebak dengan kegiatan pengganas. Apabila Omar menyedari yang dia telah membuat keputusan yang salah, al-Ahmadi sudah pun bertekad untuk mendapatkan Omar yang mempunyai kemahiran pelbagai bahasa, membaca dan menulis untuk bekerja di dalam organisasinya.
Omar terpaksa membuat tindakan muktamad bagi menyelamatkan adiknya yang menjadi tebusan organisasi al-Ahmadi untuk mendapatkan kesetiaannya. Cerita ini berakhir dengan anggota pentadbir kem termasuk Lo Yu Ting menyaksikan siaran berita yang sepuluh buah negara akhirnya membuka pintu kepada pelarian-pelarian Rohingya sebagai negara ketiga.